Tuesday, January 1, 2008

ARTIKEL 1 TAMAN TUN - POLEMIK

Assalamualaikum dan Alhamdulillah, aku dapat menulis artikel ilmiah di rumah kawan-kawanku di Taman Tun pada Selasa 01012008. Pada edisi kali ini, aku akan menulis tentang polemik penggunaan kalimah ALLAH di Malaysia. Ini adalah berikutan tindakan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri mengarahkan ‘The Herald’ menghentikan pengeluaran risalahnya dalam Bahasa Malaysia dalam suratnya yang bertarikh 10 Disember 2007. Akibat daripada tindakan Kerajaan ini, penerbit ‘The Herald’ iaitu ‘Archbishop of Kuala Lumpur’ telah menfailkan kes di mahkamah terhadap Kerajaan berikutan dengan tindakan Kerajaan menghalang penggunaan kalimah ALLAH dalam penerbitannya.

Selain itu, Sidang Injil Borneo juga mengenakan tindakan yang serupa iaitu dengan menfailkan kes yang sebegitu rupa kepada Kerajaan. Sidang Injil Borneo meminta keputusan Mahkamah supaya menghalang Kerajaan Malaysia daripada menghentikan pengimportan buku-buku Kristian yang mengandungi perkataan ALLAH. Kesemua fakta bagi polemik ini dapat dirujuk pada laporan The Sun Malaysia edisi Online dan dikemaskinikan pada 31 Disember 2007, Pengarah Penyelidikan Kristian (Kairos), Dr Ng Kam Weng mengatakan bahawa penghalangan penggunaan kalimah ALLAH ini akan menyalahi catatan sejarah di Malaysia. Kalimah ALLAH telah digunakan dalam buku ‘Gospel of Matthew’ edisi Bahasa Melayu pada tahun 1629 dan juga dalam ‘Malay Bible’ (1731-1733).

Pada pandanganku, soal penggunaan kalimah ALLAH tidaklah terhad kepada fakta sejarah semata-mata. Buku ‘Gospel of Matthew’ diterbitkan pada zaman pemerintahan Portugis di Tanah Melayu ketika itu dan pengeluaran buku ‘Malay Bible’ adalah pada zaman pemerintahan Belanda. Akan tetapi, soal di sini adalah soal latar belakang budaya di Malaysia. Aku bersetuju dengan pandangan Dr Feham Mohd Ghalib, iaitu Ketua Bahagian Bahasa al-Quran, UIAM, yang mengatakan bahawa, penggunaan kalimah ALLAH di dalam Islam adalah berbeza dengan penggunaannya dalam agama-agama lain. Lagipun, terjemahan kalimah GOD dalam Bahasa Malaysia adalah TUHAN dan bukannya ALLAH. Tambahan pula, merujuk kepada surat pembaca kepada laman web Malaysiakini yang dikemaskini pada 31 Disember 2007, Paul Warren mengatakan bahawa dalam ‘Bible’, TUHAN telah memberikan namanya sendiri iaitu YAHWEH. Jadi, siapa yang betul dalam kes ini???? Adakah pihak ‘The Herald’ ataupun ‘Bible’???? Sesungguhnya, penerbitan risalah Kristian dalam Bahasa Malaysia hendaklah diberi perhatian sepenuhnya oleh Kerajaan. Pengeluaran buku-buku Kristian ini adalah bertujuan untuk menambahkan lagi masalah umat Melayu-Islam di negara kita yang sudah dibelenggu dengan masalah-masalah penyalahgunaan dadah, masalah sosial iaitu Mat Rempit dan Bohsia, AIDS dan tidak lupa, masalah kepimpinan. Kepimpinan Pak Lah, yang merupakan graduan Universiti Malaya dalam jurusan Pengajian Islam dan daripada keturunan Ulamak iaitu Sheikh Abdullah Fahim, telah tercabar dan dicabar dengan masalah-masalah sebegini rupa yang jarang didengar dan diperkatakan semasa zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir ketika dahulu.

Mudahan-mudahan artikel yang ringkas ini membuka mata, fikiran dan hati kita terhadap isu-isu yang melanda umat Melayu-Islam baru-baru ini... Jumpa lagi.....

Mullah TTDI..

No comments: