Friday, January 18, 2008

WHAT IS YOUR ICEBERG?

By Mullah

Assalamualaikum dan Alhamdulillah, penulis dapat menulis dalam artikel ilmiah ini dan dengan bertemakan tajuk di atas, yang di'inspired' daripada buku yang bertajuk ‘Our Iceberg is Melting’. Buku ini telah ditulis oleh John Kotter dan Holger Rathgeber. John Kotter adalah pakar kepimpinan dari Harvard Business School, yang merupakan antara ‘top three’ universiti terbaik di dunia.

Perbincangan di sini adalah pada muka surat 132 dari buku tersebut. Muka surat 132 membincangkan peranan pemikiran (thinking) dan perasaan (feeling) dalam pembentukan tingkah laku (behavior) seseorang individu tersebut. Pemikiran dapat mengubah tingkah laku seseorang dengan :-

  1. Mengumpulkan data dan melakukan analisa terhadapnya,
  2. Mempersembahkan kajian tersebut dengan bertujuan untuk mengubah pemikiran seseorang individu, dan
  3. Apabila pemikiran individu tersebut berubah, maka tingkah laku individu tersebut juga akan berubah.


Sebagai contoh, penulis membawa contoh Al Gore, mantan Naib Presiden Amerika Syarikat yang ke- 45 dan merupakan pemenang bersama Hadiah Nobel bagi Keamanan (Nobel Peace Prize) 2007. Al Gore telah memperjuangkan kesedaran akan alam kepentingan alam sekitar (environmental awareness) sejak tahun 1970-an iaitu dengan mendesak akan pengurangan kadar lepasan gas karbon dioksida ke atmosfera. Kemuncak perjuangan Al Gore adalah dengan mengeluarkan filem dokumentari yang bertajuk ‘An Inconvenient Truth’pada tahun 2006, dan antara isi kandungan filem tersebut adalah untuk menyedarkan massa akan kesan pemanasan global kepada dunia (sila rujuk laman web Wikipedia yang dikemaskinikan pada 27 November 2007).

Berbalik kepada perbincangan kita, penulis berpendapat bahawa Al Gore cuba untuk mengubah tingkah laku kita dengan cuba untuk mengubah akan pemikiran kita. Bayangkan, adakah mesej Al Gore ini akan sampai kepada Orang Asli di Gua Musang akan kepentingan menjaga alam sekitar?? Apakah perasaan Orang Asli tersebut jika Al Gore menyuruh mereka supaya jangan menebang hutan, jangan memburu binatang liar dan mendesak mereka mencari ‘alternative income’selain memburu dan memerangkap binatang liar??

Penulis bukan berniat untuk merendahkan martabat Orang Asli di negara kita, tetapi mempersoalkan cara pemikiran Al Gore yang lebih memihak kepada cara pertama ini iaitu mengubah tingkah laku dengan pemikiran. Cara pertama ini adalah berkesan tetapi kesannya adalah lambat berbanding cara kedua iaitu mengubah tingkah laku dengan perasaan.

John Kotter, dalam muka surat yang sama, iaitu muka surat 132, telah menyebut cara kedua yang lebih berkesan untuk mengubah tingkah laku seseorang individu iaitu melalui PERASAAN (Feeling). John Kotter menulis iaitu dengan :-

  1. Melakukan pengalaman (experience) yang mengejutkan (suprising), memujuk (compelling) atau pun pengalaman visual,
  2. Pengalaman tersebut akan mengubah perasaan individu terhadap sesuatu perkara, dan
  3. Perubahan perasaan individu tersebut akan mengubah tingkah laku individu tersebut secara lebih berkesan dan efektif.


Penulis cuba membawa perjuangan Martin Luther King, tokoh pejuang hak asasi manusia di Amerika Syarikat dan pemenang termuda Hadiah Nobel bagi Keamanan (Nobel Peace Prize) pada tahun 1964. Mendiang Martin Luther King adalah seorang pemidato terkenal Amerika Syarikat yang terkenal dengan pidatonya yang bertajuk ‘I Have a Dream’. Kesan pidatonya yang cukup men’cengkam’ jiwa dan perasaan ini telah mengubah, bukan sahaja tingkah laku dan hala tuju rakyat Amerika Syarikat, akan tetapi hala tuju negara Amerika Syarikat tersebut. Kesan pejuangannya telah berjaya memaksa Kerajaan Amerika Syarikat memasukkan hak asasi kaum kulit hitam dan hak buruh dalam ‘Civil Rights Act of 1964’ dan ‘Voting Rights Act of 1965’. (sila rujuk laman web Wikipedia yang dikemaskinikan pada 10 Disember 2007).

Bayangkan jika Al Gore mempunyai bakat pidato sebegitu rupa dalam membangkitkan kesedaran orang ramai terhadap alam sekitar?? Kita akan dapat melihat kesannya, bukan sahaja kepada orang ramai, akan tetapi kepada Kerajaan terhadap menangani masalah alam sekitar ini. Atau cuba kita bayangkan bagaimana kesannya jika Martin Luther King menggunakan pendekatan pertama iaitu dengan menggunakan PEMIKIRAN sahaja untuk mengubah nasib kaum kulit hitam di Amerika Syarikat?? Kesannya adalah lain dan masa depan bangsa Negro di sana juga akan berbeza daripada sekarang.

Setakat ini sahaja, penulis membincangkan 2 cara untuk mengubah tingkah laku sebagai seorang individu, organisasi atau pun sesebuah negara. InsyaALLAH, penulis akan membaca kembali buku ‘Our Iceberg is Melting’ buat kali kedua dan penulis akan membincangkan tajuk yang seterusnya iaitu ‘What is Your Iceberg?’. Jumpa lagi...............

No comments: