
Makalah tersebut membicarakan keadaan Surau Kolej Tuanku Bahiyah Universiti Malaya (UM) yang telah diceroboh dan berlakunya jenayah vandalisme pada 25 Januari 2008. Vandalisme yang dilakukan dalam surau ini adalah kitab-kitab al-Quran berserakkan dan kerusi meja diterbalikkan. Perbuatan terkutuk ini tidak berhenti pada 25 Januari 2008, malahan bersambung pula pada 29 Januari 2008, di mana dinding-dinding surau diconteng dengan cat merah dan dikunci daripada menunaikan solat secara berjamaah. Siapakah dalang di sebalik peristiwa terkutuk ini??

Ini adalah peristiwa pertama yang berlaku dalam Universiti, baik dalam atau pun di luar negara, menurut fikiran penulis. Sebagai contoh, Universiti Harvard dan Universiti Oxford, antara 3 buah universiti terbaik dunia, tidak mempunyai kejadian-kejadian yang menghina kebebasan beragama, walaupun ‘Islamophobia’di sana adalah tinggi. Malahan ‘National University of Singapore (NUS)’ dan ‘Nanyang Technological University (NTU)’ yang merupakan antara 50 buah universiti terbaik dunia, pun tidak melaporkan kejadian sedemikian, walau pun majoriti pelajar dan penduduk Singapura tidak beragama Islam. Akan tetapi, di Malaysia, di mana, penduduk majoritinya adalah Islam dan majoriti pelajar, pensyarah dan pekerja di Universiti Malaya juga adalah Islam, kejadian yang biadap ini dapat dilakukan di depan atau di belakang ‘mata’ pentadbiran Kolej Kediaman Tuanku Bahiyah. Memang pelik tetapi benar.
Penulis berasa bersyukur terhadap tindakan proaktif dan reaktif PMIUM dalam menangani masalah ini bersama-sama dengan pihak pensyarah dan pelajar Universiti Malaya (UM). Akan tetapi, pada masa yang sama, penulis berharap agar kesemua masyarakat pelajar UM bangun mengutuk peristiwa ‘hitam’ ini, yang tidak pernah berlaku sepanjang sejarah Universiti Malaya (UM). Pihak PMIUM dapat mengambil inisiatif untuk menyebarkan lagi dakwah Islam dan menyemarakkan lagi perasaan cinta kepada Islam dalam diri aktivis-aktivis PMIUM, pelajar, pensyarah dan pekerja di Universiti Malaya (UM). Sesungguhnya, peristiwa ini adalah ‘wake-up call’kepada seluruh warga pelajar Islam amnya dan PMIUM khususnya dalam usaha membawa Islam dengan lebih proaktif lagi, pada masa kini dan juga pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment