Friday, February 29, 2008

Hartawan dan Jutawan

By Mullah

Assalamualaikum dan Alhamdulillah, penulis dapat menulis lagi dalam blog ini dan pada hari ini, penulis hanya bekerja separuh hari sahaja. Artikel kali ini akan membincangkan tajuk jutawan dan hartawan. Merujuk kepada akhbar The Sun edisi 29022008, 4 hartawan (philanthropist) dan jutawan Malaysia telah tersenarai dalam edisi pertama Forbes Asia yang akan dikeluarkan pada 10 Mac 2008


Penulis akan membincangkan 2 daripada 4 hartawan tersebut iaitu Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary dan Datuk Zaid Ibrahim, mantan Ahli Parlimen Kota Bharu bagi penggal 2004 - 2008. Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary bukanlah nama asing dalam dunia perniagaan di Malaysia. Selain mengawal Malaysian Mining Corporation (MMC), beliau juga merupakan pemilik Johor Port dan Pengerusi Yayasan al-Bukhary. Yayasan al-Bukhary adalah yayasan persendirian beliau, yang banyak menyumbang kepada program pendidikan kepada warga miskin di Malaysia, tanpa mengenal kaum dan agama. Pengaruhnya yang meluas ini adalah hasil dedikasi beliau dalam dunia perniagaan selama berpuluh-puluh tahun. Penulis teringat akan wawancara Mingguan Malaysia dengan Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary. Dengan kekayaan yang mencecah RM 1 billion, Tan Sri masih menggunakan kereta Perdana sebagai kenderaan persendirian. Memang tidak dinafikan akan kepentingan 'networking' dalam dunia perniagaan, akan tetapi, penulis percaya dan yakin bahawa kejayaan Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary adalah hasil jerih payah beliau dalam dunia perniagaan ini dan berbekalkan kepada ILMU dan PENGALAMAN.
Berkenaan dengan Datuk Zaid Ibrahim, beliau adalah pemilik syarikat guaman terbesar Malaysia iaitu Zaid Ibrahim & Co dan beliau menyumbang kepada masyarakat khususnya dalam kepada mereka yang tidak upaya di Kelantan. Kelantangan beliau memperjuangkan hak-hak demokrasi dan Myanmar khususnya di Parlimen, telah menyebabkan beliau tidak dipilih sebagai calon Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum 2008 kali ini. Akan tetapi dengan pengalaman beliau berkhidmat kepada masyarakat kurang upaya ini, masyarakat Kelantan khususnya tidak akan melupakan jasa Datuk Zaid Ibrahim ini secepat Barisan Nasional melupakan jasanya dengan tidak mencalonkan Datuk Zaid Ibrahim pada Pilihan Raya Umum kali ini.
Kesimpulannya, penulis berpesan kepada diri penulis dan pembaca iaitu kita hendaklah berkhidmat kepada masyarakat jika kita mempunyai impian hendak menjadi hartawan dan jutawan yang berjaya. Sesungguhnya, dunia Islam khususnya amat memerlukan khidmat para hartawan dan jutawan muda Muslim dalam menaiktarafkan lagi status Ummah Islam di mata dunia. Jumpa lagi

No comments: