Saturday, April 21, 2007

Kuliah Tafsir 1

Oleh: Ustaz Kariman

Tempat: Darul Ta’lim, TTDI

Surah Al-Mukminun: Ayat 26 & 27

Ayat 26

قَالَ رَبِّ انْصُرْنِي بِمَا كَذَّبُونِ (٢٦)

“Nabi Nuh berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku tolonglah daku, kerana mereka mendustakan seruanku.”

Menurut Imam Fakhruddin Ar-Razi, doa Nabi Nuh itu boleh ditafsirkan kepada dua maksud yang berbeza:

  1. “Wahai Tuhanku, binasakanlah mereka dengan sebab mereka telah mendustakan aku.”

Nabi Nuh a.s telah memohon Allah menunaikan janjiNya kepadanya dengan membinasakan kaumnya yang telah melakukan banyak kerosakan di muka bumi ini.

Atau

  1. “Ya Allah, berilah perlindungan kepadaku sebagai pengganti kepada pendustaan yang mereka lakukan kepadaku.”

Yakni Nabi Nuh a.s. tidak berdoa supaya Allah membinasakan kaumnya, sebaliknya supaya Allah membantu baginda dalam menyampaikan risalahNya sebelum kaumnya menggagalkan usaha dakwahnya.

Menghuraikan dengan lebih lanjut, Ust Kariman menyatakan bahawa doa Nabi Nuh yang kedua itu adalah sangat selari dengan semua seruan Rasul-rasul yang lain.

Apa yang dimaksudkan dengan ‘berilah perlindungan kepadaku’ itu, bukanlah bermaksud Nabi Nuh memohon Allah menyelamatkan nyawanya daripada kezaliman kaumnya, kerana kematian bukanlah apa yang ditakutinya.

Tetapi, apa yang dikuatiri oleh baginda adalah kematiannya sebelum sempat baginda menyampaikan risalah Allah kepada kaumnya itu.

Sebagaimana para Rasul yang lain, Nabi Nuh menunjukkan bahawa baginda meletakkan risalah Allah lebih daripada segala-galanya di dunia ini, dan baginda amat berdukacita sekiranya baginda mati sebelum sempat melakukan amanah Allah kepadanya itu.

Dua tafsiran di atas juga bolehlah digunakan sebagai dalil bagi perkara berikut:

  1. Dalil bagi kita memohon supaya memusnahkan musuh-musuh Allah di muka bumi ini.
  2. Dalil bagi kita memohon bantuan Allah supaya dapat menjalankan tanggungjawab dakwah kita.

Ayat 27

فَأَوْحَيْنَا إِلَيْهِ أَنِ اصْنَعِ الْفُلْكَ بِأَعْيُنِنَا وَوَحْيِنَا فَإِذَا جَاءَ أَمْرُنَا وَفَارَ التَّنُّورُ فَاسْلُكْ فِيهَا مِنْ كُلٍّ زَوْجَيْنِ اثْنَيْنِ وَأَهْلَكَ إِلا مَنْ سَبَقَ عَلَيْهِ الْقَوْلُ مِنْهُمْ وَلا تُخَاطِبْنِي فِي الَّذِينَ ظَلَمُوا إِنَّهُمْ مُغْرَقُونَ (٢٧)

“Lalu Kami wahyukan kepadanya: "Buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya); kemudian apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka, dan air memancut-mancut dari muka bumi (yang menandakan kedatangan taufan), maka masukkanlah ke dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap jenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu (dan pengikut-pengikutmu) kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya di antara mereka (disebabkan kekufurannya); dan janganlah engkau merayu kepadaKu untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan dengan taufan sehingga mati lemas.”

Selepas itu, sehingga ke akhir kuliahnya, Ust Kariman menumpukan perhatian kepada perkataan pertama dalam ayat ini sahaja iaitu perkataanفَأَوْحَيْنَا s

yang bermaksud “Lalu Kami wahyukan kepada mereka”

فَأَوْحَيْنَا adalah berasal dari perkataan ‘wayhu’.

Wahyu dari segi bahasa bermaksud: isyarat yang sangat cepat, sehingga orang yang mendapatnya tidak mengetahui dari mana datangnya.

Dan wahyu juga adalah salah satu daripada 3 cara Allah berhubung dengan hamba-hambaNya.

Firman Allah SWT dalam Surah Asy-Syuraa, ayat 51:

وَمَا كَانَ لِبَشَرٍ أَنْ يُكَلِّمَهُ اللَّهُ إِلا وَحْيًا أَوْ مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ أَوْ يُرْسِلَ رَسُولا فَيُوحِيَ بِإِذْنِهِ مَا يَشَاءُ إِنَّهُ عَلِيٌّ حَكِيمٌ (٥١)

“Dan tidaklah layak bagi seseorang manusia Bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali Dengan jalan wahyu (dengan diberi ilham atau mimpi), atau dari sebalik dinding (dengan mendengar suara sahaja), atau Dengan mengutuskan utusan (malaikat) lalu utusan itu menyampaikan wahyu kepadanya Dengan izin Allah akan apa Yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah Maha tinggi keadaannya, lagi Maha Bijaksana”

Seperti yang diberitahu oleh Allah dalam ayat di atas,

3 cara itu adalah:

A) Wahyu (isyarat yang sangat cepat)

Dalam Al-Quran, Wahyu membawa banyak makna:

  1. Ilham

Dalam Surah Al-Qashash, ayat 7, Allah berfirman:

وَأَوْحَيْنَا إِلَى أُمِّ مُوسَى أَنْ أَرْضِعِيهِ فَإِذَا خِفْتِ عَلَيْهِ فَأَلْقِيهِ فِي الْيَمِّ وَلا تَخَافِي وَلا تَحْزَنِي إِنَّا رَادُّوهُ إِلَيْكِ وَجَاعِلُوهُ مِنَ الْمُرْسَلِينَ (٧)

“Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa:" Susukanlah dia; Dalam pada itu, jika Engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah Dia di Dalam peti dan) lepaskanlah Dia ke laut; dan janganlah Engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; Sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadaMu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul kami”

Ilham untuk menyelamatkan Nabi Musa itu timbul di dalam hati ibunya, datang daripada Allah SWT.

  1. Fitrah/ Naluri/ Sifat semulajadi

Dalam Surah An-Nahl, ayat 68, Allah berfirman:

وَأَوْحَى رَبُّكَ إِلَى النَّحْلِ أَنِ اتَّخِذِي مِنَ الْجِبَالِ بُيُوتًا وَمِنَ الشَّجَرِ وَمِمَّا يَعْرِشُونَ (٦٨)

“Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: "Hendaklah Engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia.”

Dalam ayat ini, Allah telah menetapkan Fitrah bagi lebah bahawa tempat tinggalnya haruslah terletak di tempat-tempat seperti yang disebutkan dalam ayat di atas. Sebab itulah tidak sekalipun kita akan melihat lebah membuat sarangnya di tempat yang selain daripada itu.

Sepertimana yang telah ditetapkan kepada manusia, Allah telah menetapkan fitrah kepada setiap makhluk ciptaanNya.

Sebagai contoh, Air.

Air ini fitrahnya akan mengalir dari tempat bertekanan tinggi kepada tempat bertekanan rendah. Sama sekali, air tidak akan melanggar fitrah yang telah ditetapkan kepadanya dengan mengalir dari tempat tekanan rendah kepada tempat tekanan tinggi.

Pendek kata, setiap makhluk yang berada di muka bumi ini, baik haiwan, tumbuhan atau apa sahaja, semuanya hidup dengan fitrah masing-masing yang telah ditetapkan ke atas mereka... kecuali Manusia!

Walaupun dengan kelebihan akal yang dikurniakan Allah kepada mereka, manusia adalah makhluk yang sering melanggar fitrah yang Allah tetapkan kepada mereka. Dan itulah sebabnya, dunia yang didiami manusia ini semakin lama semakin bergolak dan menuju kehancuran. Semuanya kerana perbuatan tangan-tangan mereka ini sendiri.

Oh, kembalilah kepada fitrahmu, wahai manusia! Kembalilah kepada Allah dan RasulNya!

  1. Isyarat (body language)

Dalam Surah Maryam, ayat 11, Allah berfirman:

فَخَرَجَ عَلَى قَوْمِهِ مِنَ الْمِحْرَابِ فَأَوْحَى إِلَيْهِمْ أَنْ سَبِّحُوا بُكْرَةً وَعَشِيًّا (١١)

“Maka Dia pun keluar mendapatkan kaumnya dari Mihrab (tempat sembahyangnya), lalu ia memberi isyarat kepada mereka: "Hendaklah kamu bertasbih (mengerjakan Ibadat kepada Allah) pagi dan petang.”

Ayat ini mengisahkan Nabi Zakaria a.s. yang baru sahaja mendapat khabar gembira daripada Allah SWT bahawa baginda akan dikurniakan seorang anak lelaki yang juga akan menjadi seorang Rasul kepada kaumnya (Nabi Yahya).

Lalu baginda keluar dari mihrabnya untuk berjumpa dengan kaumnya, dan ketika itu baginda memberikan isyarat kepada kaumnya itu supaya beribadah kepada Allah.

Bagaimana bentuk isyarat itu, tidaklah diketahui, tetapi apa yang pasti maksudnya sampai kepada kaumnya seperti yang diceritakan dalam ayat di atas.

  1. Bisikan

Dalam Surah Al-An’am, ayat 112, Allah berfirman:

وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الإنْسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ (١١٢)

“Dan Demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya Yang lain kata-kata dusta Yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. oleh itu, biarkanlah mereka dan apa Yang mereka ada-adakan (dari perbuatan Yang kufur dan dusta) itu.”

Di dalam ayat ini, Allah menggunakan perkataan يُوحِيuntuk menggambarkan bisikan syaitan yang penuh tipu daya.


5. Apa yang disampaikan oleh Allah kepada para Malaikat untuk disampaikan kepada Nabi

Dalam Surah Al-Anfal, ayat 12, Allah berfirman:

إِذْ يُوحِي رَبُّكَ إِلَى الْمَلائِكَةِ أَنِّي مَعَكُمْ فَثَبِّتُوا الَّذِينَ آمَنُوا سَأُلْقِي فِي قُلُوبِ الَّذِينَ كَفَرُوا الرُّعْبَ فَاضْرِبُوا فَوْقَ الأعْنَاقِ وَاضْرِبُوا مِنْهُمْ كُلَّ بَنَانٍ (١٢)

“(ingatlah) ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku menyertai kamu (memberi pertolongan), maka Tetapkanlah (hati) orang-orang Yang beriman. Aku akan mengisi hati orang-orang Yang kafir Dengan perasaan gerun; oleh itu, pancunglah leher mereka (musuh) dan potonglah tiap-tiap anggota mereka.”

Maksud wahyu yang terakhir ini adalah maksud yang kita semua telah sedia mengetahuinya.

Sebagaimana yang dimaksudkan dalam ayat ini, Allah telah menyampaikan wahyu kepada Rasulullah melalui Malaikat

B) Dari sebalik Hijab

Melalui cara ini, Allah berhubung dengan hambaNya tanpa perantaraan sesiapa, tetapi melalui sebalik hijab.

Contoh yang paling jelas adalah semasa Nabi melakukan Mi’raj untuk menemui Allah di Sidratul Muntaha. Allah telah menyampaikan perintah Solat kepada Nabi melalui cara ini, dari sebalik hijab.

Contoh yang lain adalah pada kejadian Allah bercakap dengan Nabi Musa di Bukit Tursina.

Perlulah diingat bahawa Allah bukanlah ‘bercakap’ dengan rasul-rasulNya itu, sebaliknya mempunyai caraNya yang sangat mulia yang tersendiri.

Dan untuk lebih memahami apa yang dikatakan dengan ‘di sebalik hijab’ itu, lebih mudah untuk mengetahui bahawa Allah berada di dalam ‘dimensi’ yang berlainan daripada semua hamba-hambaNya, dan dimensi itulah yang membentuk hijab tersebut.

C) Pengutusan Malaikat kepada Rasul-rasulNya

Melalui cara ini, Allah mengutuskan Jibril untuk menyampaikan sebarang kehendakNya kepada Rasul-rasulNya di dunia ini.

Menurut sebuah Hadis Sahih yang diriwayatkan oleh Imam Tabrani, Rasulullah memberitahu bahawa apabila Allah berkehendakkan untuk menurunkan sesuatu ayat Al-Quran melalui penurunan wahyu, seluruh lapisan langit akan bergoncang dengan sangat kuat kerana takutkan Allah. Apabila semua penghuni langit mendengar dan merasakan gegaran yang sangat kuat itu, mereka semua jatuh pengsan dan jatuh tersungkur dalam keadaan bersujud.

Malaikat yang mula-mula bangun dari pengsannya adalah Jibril lalu Allah menyampaikan wahyu itu kepadanya. Kemudian Jibril turun melalui malaikat-malaikat yang lain dan setiap kali itu, mereka yang masih lagi dalam ketakutan itu akan bertanya, ‘Wahai Jibril, apakah yang dikatakan oleh Tuhan kita?’

Kata Jibril, “Apa yang diperkatakan oleh Tuhan kita adalah kebenaran, dan sesungguhnya Allah itu Maha Tinggi dan Maha Besar.” Lalu semua malaikat itu akan mengulangi kata-kata Jibril itu dengan beramai-ramai, “Perkataan Tuhan kita adalah kebenaran. Sesungguhnya Allah itu Maha Tinggi dan Maha Besar...!”

Kejadian seperti yang diceritakan dalam hadis itu, akan berlaku setiap kali Allah menyampaikan wahyu melalui Jibril kepada baginda. Kerana takutkan Allah, langit akan bergoncang dan para malaikat akan jatuh pengsan dengan setiap penurunan ayat-ayat Allah itu, menunjukkan betapa mulianya kedudukan Al-Quran di sisi Allah!

Namun, bagaimana pula dengan sikap manusia apabila berhadapan dengan ayat-ayat Allah? Mereka mendustakannya, dan meremeh-remehkan isi kandungannya, di kala seluruh penghuni langit jatuh pengsan akibat ketakutan dengan setiap apa yang disampaikan oleh Allah melalui lidah RasulNya itu...!

Semoga kita tergolong dalam golongan orang-orang yang takutkan Allah dan sentiasa mencari keredhaanNya...