“Zahar, ana ada proposal nak buat kat anta,”
Kami berada di restoran Dome, One Utama ketika sahabat saya Khairuddin mula-mula menimbulkan apa yang akhirnya menjadi satu pengalaman yang sangat berharga dalam hidup saya.
“Anta kan ada banyak masa ‘free’?” Saya tersenyum sedikit mendengar kata-katanya. Kemudian saya mengangguk dan dia pun menyambung, “apa kata, anta ikut ana pergi ke Sarawak, dalam bulan Mei ni. Ana ada kerja di sana, dan ana akan pergi sorang. Penginapan anta tak perlu risau. Boleh duduk di hotel dengan ana. Boleh kita jalan-jalan di sana. Anta cuma sediakan duit tambang dan belanja sahaja...”
Saya terdiam seketika mendengar kata-katanya itu.
“Okay jugak,” kata saya. “Lagipun, memang dah lama ana nak pergi Sarawak. Ramai kawan-kawan kat sana.” Dalam kepala, saya mengira-ngira sendiri. Seorang sahabat baik saya, Hasrul berada di sana. Begitu juga dengan Cikgu, Afnan, Arisan dan beberapa lagi.
“Kalau macam tu, baguslah!” Suara Din kedengaran ceria. Saya tersenyum dan perbualan kami diteruskan ke topik yang lain pula.
Tidak lama kemudian, pada hari yang sama juga, di rumah saya, sekali lagi Din bersuara. Nyata, fikirannya masih lagi berada pada ‘proposalnya’ kepada saya sebentar tadi. Saya tidak memberitahunya, tetapi saya sudah lupa sama sekali tentang perkara itu. Hinggalah apabila dia menimbulkannya,
“Anta ada passport kan?”
“Yup.” Saya menjawab. Kebetulan ketika itu, saya baru saja membuat pasport sebagai persiapan untuk ke Singapura.
“Kalau macam tu, bolehlah ikut ana ke Hong Kong!”
“Hah?!” Saya terkejut mendengar kata-katanya. Tadi Sarawak, sekarang Hong Kong pula!
Dalam fikiran, saya awal-awal telah menolak kemungkinan itu. Namun, saya fikir saya harus meraikan sahabat saya itu. Lalu, saya bertanya,
“Kalau ke Hong Kong, bila pula?”
“Mungkin bulan depan. Tak pasti lagi. Tapi ana memang kena pergi Jepun, Korea dan Hong Kong sekaligus. Jadi, ana fikir, kalau anta ada ‘budget’ lebih, bolehlah pergi Hong Kong. Sama macam tadi, penginapan anta tak perlu risau.”
Buat seketika kami tidak berkata apa-apa. Saya, memikirkan bagaimana hendak menolak tawarannya itu tanpa begitu jelas penolakannya. Din, mungkin terus memikirkan cara terbaik untuk memujuk saya menerima pelawaannya itu.
Akhirnya saya berkata,
“Sekarang ini bulan Mac. Dalam jangka masa terdekat ni, ana pun tak tahulah Din. April, banyak kena keluar duit. Roadtax, insurans, duit kereta, lesen memandu, semua bulan April. Kalau lambat lagi, mungkin bolehlah...”
“Macam tu, agak-agak bila anta boleh? Ana boleh susun ‘schedule’ ikut kesesuaian anta.”
“Susun ‘schedule’?!!”
“Ya. Untuk projek ni, ana jadi ‘project manager’. Ana boleh plan jadual perjalanan ana supaya sesuai dengan anta.”
Baiklah, saya memang impressed... dan terharu dengan kesanggupan Din itu. Namun, saya juga mula mengesan bahawa jalan keluar saya semakin sempit ketika itu. Apatah lagi saya cukup mengenali Khairuddin. Dan kini, untuk memudahkan penceritaan di dalam diari/travelog ini, saya ingin memperkenalkan sahabat saya ini kepada anda semua pula.
*
Saya mula mengenali Khairuddin kira-kira 9 tahun lepas, ketika masih di dalam program Asasi Sains Universiti Malaya. Dia adalah salah seorang rakan kepada sahabat paling baik saya dunia dan akhirat, Aizzuddin, dan ia tidak mengambil masa yang lama untuk saya mengenali dan terus bersahabat dengannya. (Sayang sekali, Aizzuddin tidak dapat menyertai perjalanan kami, dan menjadikan perjalanan ini lebih bermakna lagi...)
Antara saya dan Din, boleh dikatakan kami tidak mempunyai persamaan dalam banyak perkara. Sifat dan minat kami berbeza. Jika ia boleh diletakkan dalam skala warna, saya adalah biru, manakala dia merah (tiada sebarang kaitan dengan politik huh...). Namun, itu bukanlah masalah untuk kami terus berkawan rapat. Apatah lagi, kami sering menyertai program yang sama di UM dulu.
Oeh kerana Din adalah ‘merah’, pada awal perkenalan kami, dia agak sukar untuk berkawan rapat dengan orang lain yang tidak dapat memahaminya. Oleh kerana saya dan Aizzuddin adalah antara yang dapat memahaminya, kami bertiga mula menjadi rapat.
Saya suka memikirkan bahawa saya dapat memahaminya dengan baik (ingat lagi... saya adalah ‘biru’, dan kebetulan saya memang suka memahami psikologi orang lain), justeru membuatkan dia begitu senang berkawan dengan saya. Dalam banyak keadaan, saya sering menjadi pendengar setia kepada masalah-masalahnya, dan Din kelihatan selesa menceritakan semua itu kepada saya.
Dipendekkan cerita, hubungan rapat kami beransur renggang setelah tamat belajar dan masing-masing membawa haluan sendiri. Dan apabila dia melangsungkan perkahwinannya kira-kira dua tahun lepas, perhubungan itu semakin jauh lagi. Sesekali dia menghubungi saya dan kami akan berbual mesra seperti dulu-dulu juga.
Bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi swasta yang terkemuka, Din telah memanjat tangga korporat di situ dengan agak pantas. Selepas beberapa tahun sahaja, dia sudah menjawat jawatan ‘project manager’ di syarikatnya, menguruskan projek yang bernilai jutaan ringgit melibatkan puluhan ‘engineers’ dan ‘technicians’ di bawahnya. Oleh itu, dia sering keluar ke luar negara, terutama Jepun, Korea, Hong Kong, Thailand dan Singapura atas urusan projek-projeknya. Beberapa kali dia harus berada di luar selama beberapa bulan atas urusan kerjanya itu.
Apabila saya mendengar tentang trip-trip yang dilakukan ke luar negara itu, saya berasa kagum dan merasakan dia sangat bertuah. Saya sendiri sangat teringin untuk melihat negara orang dan menulis sesuatu tentangnya, tetapi tidak pernah mendapat kesempatan. Dan itulah yang saya nyatakan kepadanya dalam beberapa kali saya berkesempatan berjumpa dengannya. Dia menjawab, pada awalnya memanglah semuanya sangat menarik. Tetapi apabila terlalu kerap, letihnya lebih banyak daripada seronok. Itulah sebabnya, dia pernah menolak tawaran selama beberapa bulan ke Dubai (bayangkan bagaimana reaksi saya mendengarnya). Lagipun katanya, kasihan pada isterinya yang sering ditinggalkan, yang mana saya akan mengangguk tanda memahami walaupun di dalam hati, sukar menerima hakikat itu. Well, don’t blame me. Dubai tu!!
Saya tidak dapat mengingati dengan jelas bagaimana kami boleh kembali kerap berhubung. Yang pastinya, saya ada menerima panggilannya mengatakan dia mahu ke rumah saya di Melaka pada satu hari Februari lepas (kebetulan keluarga isterinya berasal dari Melaka dan tidak jauh dari kampung saya). Saya memberitahunya saya tidak dapat menyambutnya di rumah ketika itu kerana ada hal yang tidak dapat dielakkan. Akhirnya kami bersetuju untuk berjumpa di KL pada Selasa berikutnya.
Ditakdirkan Allah, Selasa itu sahabat baik saya Aizzuddin juga menelefon saya dan mengatakan dia ada urusan di KL dan mahu singgah ke rumah saya. Tiba-tiba sahaja, Selasa itu menjadi ‘reunion’ bagi kami bertiga, sekaligus menimbulkan kembali kenangan ketika di UM dulu.
Sejak itu, Din datang ke rumah saya beberapa kali lagi hinggalah akhirnya timbul cadangan untuk ke Hong Kong itu.
*
Satu perkara mengenai Din adalah dia boleh menjadi seorang pendesak apabila dia inginkan sesuatu. Selagi dia dapat melihat peluang untuk mendapatkan apa yang dia kehendaki, dia akan terus mengejarnya.
Dalam hal ke Hong Kong ini, dia melihat keraguan saya sebagai peluang untuk terus mengajak saya ke sana. Andai saya terus menyatakan dengan tegas bahawa saya tidak mahu pergi, nescaya dia akan berhenti. Namun, saya tidak menyatakan sedemikian, dan itu sudah cukup baginya.
Selama beberapa minggu selepas itu, dia sering menelefon saya memberitahu pelbagai maklumat tentang Hong Kong dan perihal pemergiannya ke sana. Dia berterusan mengumpan saya dengan memberitahu tentang hotel yang bakal kami diami (Sheraton - harbor view suite), Disneyland, Kowloon, The Peak, dan macam-macam lagi. Semuanya membuatkan saya bertambah serba salah untuk menolak. Tidak ketinggalan saya menyedari peluang untuk saya melepaskan diri semakin lama semakin sempit.
Pada ketika itulah, tiba-tiba saya teringat dia ada menyebut sesuatu tentang Giant Panda yang dia sendiri tidak berkesempatan untuk melawatnya ketika kali terakhir dia berada di Hong Kong dengan isterinya.
Dan itulah juga yang membuatkan saya memulakan pencarian saya tentang Hong Kong dan akhirnya menjumpai tentang Panda di Ocean Park dan... (menarik nafas panjang) ...Dolfin di dalamnya!!
Di saat saya menulis perenggan ini, saya menyedari bahawa saya benar-benar bersyukur kepada Allah kerana tidak menyatakan ‘tidak’ terus menerus. Saya juga berterima kasih kepada Din kerana sama sekali tidak berputus asa mengajak saya pergi ke Hong Kong, sekaligus memberikan peluang kepada saya untuk menjelajahi negara orang dan jika berkesempatan, cuba untuk menulis sesuatu tentangnya.
Dalam hati saya berdoa, ini adalah trip pertama daripada banyak lagi trip ke luar negara pada masa akan datang...
12.05p.m.
Selasa 22 April 2008
3 hari lagi sebelum bertolak ke Hong Kong.
No comments:
Post a Comment