Tuesday, April 22, 2008

Diari HK 1


Tidak pernah dalam seumur hidup saya terfikir akan menjejakkan kaki ke Hong Kong, Special Territory of PRC. Masakan tidak, pada saya Hong Kong adalah sekadar sebuah pulau yang sangat maju, sesak dan oleh itu, penuh dengan pencemaran.

Sedangkan saya adalah seorang ‘naturalist’ yang lebih gemar melihat keindahan dunia secara semulajadi, menyelusuri pantai atau hutan yang penuh misteri, serta memerhatikan keunikan flora dan fauna yang terdapat di sesuatu kawasan itu.

Malah, jika diberi peluang saya ingin pergi ke Australia, benua yang dipenuhi tempat-tempat unik seperti The Great Barrier Reef atau Mount Augustus, monolith terbesar di dunia. Serta melihat haiwan-haiwan yang tidak ada di tempat lain seperti kangaru, koala dan platipus. Bagi saya, itu adalah ‘the essence’ pada dunia ini yang semakin ramai manusia lupa akannya.

Itulah sebabnya, apabila seorang sahabat memberikan saya satu tawaran yang begitu baik dan tidak disangka sama sekali untuk melawat Hong Kong, saya mengambil masa yang begitu lama untuk mengatakan ‘ya’! Ditambah lagi dengan faktor kewangan yang agak mendesak ketika itu, saya sudah hampir pasti mengatakan ‘tidak’ apabila sesuatu berlaku menyebabkan saya berubah fikiran.

Tak kenal maka tak cinta. Rupanya frasa ini bukan sahaja untuk mencari jodoh. Segala prasangka di atas adalah satu pandangan yang terhasil tanpa sebarang kajian atau melalui ‘cakap-cakap orang’ sahaja. Walaupun kenyataan itu benar, ia juga tidak begitu tepat bagi menggambarkan Hong Kong yang sebenar.

Pencarian melalui internet menyedarkan saya bahawa terlalu banyak keisimewaan pulau ini yang masih tersembunyi. Untuk menunjukkan betapa banyak maklumat yang saya tidak ketahui tentang Hong Kong adalah ini: Saya baru mengetahui bahawa lebih separuh daripada Hong Kong (termasuk Kowloon yang sangat popular itu) sebenarnya adalah tanah besar yang bersambung terus dengan Republik China yang dipanggil ‘New Territories’. Dalam fikiran saya, Hong Kong sepatutnya terdiri daripada gugusan-gugusan pulau sahaja!

Dengan ‘mata’ saya sudah semakin terbuka ketika itu, saya mula mencari lebih banyak lagi maklumat tentang Special Territory ini. Namun, saya masih lagi ragu-ragu untuk menyatakan persetujuan saya. Sehinggalah saya membaca tentang Ocean Park di negara itu.

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Forbes, Ocean Park Hong Kong adalah taman tema ketujuh paling popular di dunia (tempat pertama sehingga ketiga adalah Disneyland di Amerika, Jepun dan Paris). Di samping itu, ia juga merupakan antara konservatori hidupan laut yang terbesar di dunia yang menempatkan jerung, dolfin, anjing laut dan lain-lain! (Perkataan dolfin bergema di dalam kepala saya ketika itu!)

Selain itu, ia juga menempatkan empat ekor panda gergasi yang dihadiahkan oleh kerajaan China sempena kemasukan semula Hong Kong ke republik itu pada 1997!

Baiklah, jadi Ocean Park Hong Kong mempunyai dolfin dan panda!! Jadi?! Sudah tentu saya akan pergi! Jika saya pergi ke sana hanya untuk melihat kedua makhluk Tuhan yang ajaib ini sahaja pun, saya tetap akan pergi juga!

Bermula pada saat itulah, saya mula jatuh cinta dengan Hong Kong. Pendek kata, saat itulah ‘pengembaraan’ saya ke Hong Kong bermula.

No comments: