Tuesday, May 8, 2007

Kuliah Subuh 2(1)

Oleh: Ustaz Faisal

Tempat: Masjid Taqwa, TTDI


Muqaddimah

Seorang Mukmin yang percaya bahawa segala amalannya di dunia ini akan dihisab di akhirat nanti, dia pasti akan menjaga dirinya daripada perkara-perkara yang akan mengaibkannya di dunia ini dan juga semasa di hari pengadilan kelak.

Dan sekiranya dia pernah terlanjur, dia akan cuba menutup kesalahannya itu dengan beristighfar kepada Allah Yang Maha Pengampun, dan seterusnya bertaubat dengan bersungguh-sungguh serta berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

Kuliah ini adalah kesinambungan kepada Kuliah Subuh 1, yang menceritakan tentang persahabatan yang diredhai dan mendapat tempat yang mulia di sisi Allah SWT.

Terdapat dua perkara yang biasanya menjadi ‘duri dalam daging’ di dalam sesebuah persahabatan. Dua perkara yang bukan sahaja boleh menjadi penyebab kepada tercemarnya kesucian sesuatu persahabatan yang dibina, tetapi juga menjadi sebab kepada kemurkaan Allah SWT.

Dua perkara itu adalah:

1. Prasangka

2. Berbohong


Untuk ruangan kali ini, saya akan menulis tentang perkara (1) terlebih dahulu.

Isi


Prasangka


Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

‘Jangan sesekali kamu berprasangka kerana prasangka itu perkara yang paling dikeji oleh Allah SWT’

Di dalam konteks persahabatan mahupun konteks apa sekalipun, perkara pertama yang perlu dilakukan untuk mengelakkan timbulnya prasangka adalah dengan menjaga hak sesuatu persahabatan atau perhubungan itu.

Apakah hak itu?

1. Sahabat yang pertama, tidak menjaga hak sahabatnya dengan berusaha sedaya-upaya untuk mengelak daripada melakukan perbuatan yang boleh menyebabkan timbul prasangka buruk terhadap dirinya sendiri.

2. Sahabat yang kedua pula, tidak menjaga hak sahabat yang pertama, dengan berprasangka buruk tanpa usul periksa, sedangkan dia boleh memilih untuk menyelidikinya terlebih dahulu yang pastinya lebih menguntungkan kedua-dua belah pihak.

Dan untuk kuliah kali ini, Ustaz Faisal lebih menumpukan perhatian terhadap hak (1)

Sememangnya manusia adalah makhluk yang lemah dan sering melakukan kesilapan. Setiap orang daripada kita, pasti pernah melakukan sesuatu yang kita tidak berasa bangga, malahan berasa malu dengannya. Pendek kata, asalkan dia manusia, pastilah dia pernah melakukan dosa dan kesilapan.

Malah, disebabkan oleh kelemahan-kelemahan itulah, kita sangat dituntut untuk berusaha mengelakkan lagi perbuatan yang boleh menimbulkan prasangka buruk orang lain terhadap kita.

Sebagai seorang Rasul, Nabi Muhammad SAW adalah maksum, yakni terpelihara daripada melakukan sebarang dosa. Malah, tiada siapapun di kalangan sahabat yang akan meragui atau berprasangka buruk terhadap setiap perlakuan dan tindakan Nabi.

Namun begitu, baginda adalah orang yang paling berhati-hati menjaga setiap perbuatannya supaya tidak mungkin akan timbul perkara-perkara yang boleh menimbulkan prasangka.

Perkara kedua yang perlu dilakukan dalam mengelakkan prasangka adalah menyorok/menyembunyikan segala dosa dan keterlanjuran yang pernah kita lakukan.

Dalam sebuah hadis Qudsi, Allah berfirman:

“Celakalah bagi orang-orang yang melakukan dosa secara terang-terangan.”

Sebagai Mukmin, kita dilarang menceritakan dosa-dosa yang kita lakukan kepada sesiapapun, melainkan untuk memberikan pengajaran kepada orang lain. Itupun dalam keadaan-keadaan yang tertentu sahaja.

Dan perlu juga diingat bahawa larangan itu bukan bermaksud kita boleh melakukan dosa secara sembunyi-sembunyi. Kerana dosa tetap dosa, samada secara bersembunyi atau secara terang-terangan! Apa yang berbeza cuma kesannya sahaja.

Dan di bawah ini, disenaraikan mengapa kita dituntut menyembunyikan segala dosa yang kita lakukan:

1. Allah SWT sendiri bersifat menutup dosa-dosa yang dilakukan hamba-hambaNya.

Allah SWT yang bersifat Ghafur adalah Tuhan yang maha menutupi dosa-dosa hambaNya. Allah Maha Penyayang, dan Dia menjaga aib hamba-hambaNya di dunia ini.

Jadi, jika Allah sendiri mahu menutup segala dosa dan keaiban kita, mengapa pula kita hendak menghebah-hebahkannya?!

Dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda:

“Setiap orang daripada umatku akan dipadamkan dosa-dosanya oleh Allah melainkan orang-orang yang menghebah-hebahkan dosanya. Iaitu seorang lelaki yang melakukan dosa pada waktu malam, kemudian Allah sembunyikan dosanya itu sehingga pada waktu subuh. Kemudian apabila fajar menyinsing, lelaki itu mencari temannya dan menceritakan tentang dosa-dosanya dan bergelak ketawa tentangnya. Maka, sesungguhnya dia telah menyentak kain ‘Satar’ yang digunakan oleh Allah untuk menutup dosanya sendiri!”

2. Supaya dosa kita tidak menjadi ikutan orang lain.


Rasulullah bersabda:

“Sesiapa yang berbuat satu dosa, maka dia akan mendapat dosa itu, dan dosa orang-orang yang mengikut perbuatannya.”

3. Supaya wujud rasa malu yang menebal dalam masyarakat.


Rasa malu adalah apa yang menghalang manusia daripada melakukan dosa.

Jika dosa diceritakan secara terang-terangan lama-kelamaan rasa malu akan terhakis, dan akhirnya manusia akan menjadi seperti haiwan yang boleh melakukan apa sahaja, ‘without any reserve!’

Ingatlah hadis Rasulullah yang menyebut:

“Malu dan Iman adalah ibarat saudara kembar. Bila diangkat salah satunya, akan terangkat yang satu lagi.”

4. Manusia itu cenderung mengingati perbuatan buruk/dosa manusia yang lain.


Sebagai seorang Muslim, kita perlu membawa imej yang baik, yang bersesuaian dengan imej seorang Muslim. Andainya, kita tergolong dalam orang-orang yang suka menghebahkan dosa-dosa yang kita lakukan, ia akan terus menghantui kita, walaupun pada ketika kita sudah bertaubat.

Kerana, sudah menjadi sikap manusia, akan mengingati segala perkara buruk dan dosa yang dilakukan oleh orang lain.


Akhir sekali, marilah sama-sama kita berusaha menjauhkan diri dari dosa. Semoga Allah terus menutupi aib-aib kita di dunia ini, dan di Hari Pembalasan kelak...

Wallahu ‘alam.

No comments: