Thursday, May 13, 2010

Pengembaraan Afiq

Assalamualaikum...

As i promised, this is a post solely for my first book, "Pengembaraan Afiq" that's being published this May. The book is published in Malay, and for that reason alone, allow me to continue this entry in that beautiful language of ours...

Saya mula menulis buku ini pada pertengahan tahun 2008 sebelum terhenti selama beberapa bulan lantaran sibuk dengan beberapa perkara lain, di samping harus menumpukan perhatian terhadap 'editing' novel Lagenda Elfarren yang terlebih dahulu siap sebelumnya. 

Kemudian, pada awal 2009, sementara menunggu respon terhadap novel LE tadi, saya mengambil keputusan menyambung kembali penulisan buku ini. Awal April, saya berjaya menyiapkan buku ini dan terus menghantar manuskripnya ke Alaf 21. Sebulan kemudian, saya mendapat respon positif bagi buku ini serta mendapat perjanjian mulut dari Editor di sana bahawa ia akan diterbitkan, cuma agak lewat, memandangkan jadual penerbitan mereka sudah penuh untuk tahun itu. Saya masih ingat pada masa itu, saya tidak menaruh harapan yang terlalu tinggi (lantaran pengalaman pahit manis bersama beberapa syarikat penerbitan lain berkenaan novel Lagenda Elfarren), dan saya hanya mengiakan sahaja.


Kemudian, lewat Februari tahun ini, saya mendapat panggilan telefon daripada editor di sana mengatakan bahawa buku Pengembaraan Afiq sudah bersedia untuk diterbitkan. Sungguhpun begitu, masih banyak lagi proses yang perlu dijalankan; seperti proof-reading, lagi proof-reading, pemilihan grafik, final proof, sebelum akhir sekali, percetakan...!


Alhamdulillah, kini, bulan May 2010, akhirnya buku ini sudah pun siap dan bakal diedarkan di kedai-kedai buku dalam masa terdekat ini.

Baiklah, itu tentang proses yang dilalui untuk menerbitkan buku ini. Sekarang, mengenai buku ini pula...


"Watak utama dalam cerita ini adalah Afiq, seorang remaja berumur 14 tahun; dan adik perempuannya, Hana yang berumur 7 tahun. Apabila berlaku satu insiden yang mengakibatkan kedua ibu bapa mereka 'diambil' daripada mereka, kedua beradik ini harus bersama-sama dalam satu pengembaraan yang sukar, bagi 'mendapatkan' semula ibu bapa mereka. Atas sebab tertentu, mereka hanya mempunyai masa selama 6 hari atau ibu bapa mereka akan hilang buat selama-lamanya. 

Dalam perjalanan itu, kedua beradik ini terpaksa menghadapi cabaran-cabaran yang tidak diduga. Mereka menemui sahabat baru yang datang tidak disangka-sangka, namun dalam masa yang sama, berdepan dengan musuh yang cuba menamatkan nyawa mereka. Mereka diuji sehingga had kemampuan mereka, ketika hanya tawakkal kepada Allah, beserta kasih sayang dan persahabatan yang mereka miliki sahaja yang boleh menyelamatkan mereka...

Dengan izin Allah, mereka boleh berjaya. Namun, persoalan yang lebih penting adalah, adakah mereka berjaya dalam pengembaraan lain yang sama penting; yakni kembara hati dan fikiran mereka?!

Justeru, novel ini menjemput para pembaca untuk mengembara bersama-sama Afiq dan yang lain, bagi mencari dan menilai semula apakah yang penting dan yang sebaliknya dalam hidup ini. Elemen kasih sayang, persahabatan dan cinta yang sesuai dengan tahap umur remaja kini turut diterapkan selain elemen misteri dan suspen yang mewarnai liku-liku plot di dalamnya."

Diterbitkan di bawah banner Alaf 15, sebuah unit di bawah Alaf 21 Sdn Bhd, novel ini sangat sesuai bagi para remaja, tidak kira di sekolah rendah atau sekolah menengah. Namun sebagaimana lumrah satu-satu buku yang tidak pernah dan tidak wajar dieksklusifkan kepada sesuatu golongan semata-mata, ia juga sesuai untuk golongan dewasa, terutama ibu bapa...

Mengambil idea daripada kata-kata seorang penulis Amerika, Mark Twain, yang sangat terkenal dengan karya-karyanya, 'The Adventures of Tom Sawyer' dan 'Adventures of Huckleberry Finn', lebih 100 tahun dahulu,

"Buku ini sesuai untuk mereka yang masih remaja... dan yang pernah menjadi remaja..."

Terima Kasih,

AidanZ ( 13th Mei 2010 )

PS: Setiap komen dan pandangan sangat dialu-alukan untuk rujukan penulis pada masa hadapan...







4 comments:

amirmukhtar said...

dah keluar ke?

Aidan Z said...

Alhamdulillah,
baru berada di pasaran pd 18th May (selasa) baru ni...

Imran Yusuf said...

Tahniah, Tuan AidanZ...
Semoga terus berkarya...

Fazl said...

Saya sudah baca. Menarik :)