Showing posts with label Kuliah Tafsir. Show all posts
Showing posts with label Kuliah Tafsir. Show all posts

Wednesday, June 6, 2007

Kuliah Tafsir Surah Al-Mu'minun 3

Oleh: Ustaz Kariman

Tempat: Darul Ta’lim, TTDI

Surah Al-Mukminun: Ayat 28

فَإِذَا اسْتَوَيْتَ أَنْتَ وَمَنْ مَعَكَ عَلَى الْفُلْكِ فَقُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي نَجَّانَا مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ (٢٨)

"Kemudian apabila engkau dan orang-orang yang bersamamu telah berada di atas bahtera itu maka hendaklah engkau (bersyukur kepada Allah dengan) berkata: ` Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menyelamatkan kami daripada orang-orang yang zalim”

Sambungan daripada ayat yang lepas, Allah telah memerintahkan Nabi Nuh dan pengikutnya yang bersama-sama baginda di atas bahtera itu supaya bersyukur kepadaNya kerana telah menyelamatkan mereka daripada kaum Nabi Nuh yang kufur dan zalim itu.

Dalam ayat ini, sila perhatikan Allah telah menggunakan perkataan فَقُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ dalam perintahNya agar Nabi Nuh dan pengikut setianya menyatakan kesyukuran mereka kepada Allah.

Dalam ilmu qawa’id bahasa arab, perkataan قُل yang bermaksud ‘katakanlah’, adalah bagi mufrad @ singular. Yakni perintah Allah itu hanya dituju kepada Nabi Nuh seorang, dan bukan untuk ramai seperti yang disebut oleh Allah pada awal ayat di atas.

Mengapa Allah menyebut sedemikian?

Ulama’ Tafsir mengatakan bahawa penggunaan perkataan itu bertujuan antara lainnya adalah:

1. Allah mahu menunjukkan kedudukan Nabi Nuh yang lebih tinggi dan mulia berbanding pengikut-pengikutnya yang lain.

2. Sebagai cara memberitahu bahawa apa yang diperintahkan oleh Allah kepada Nabi-nabiNya, juga bermaksud perintah yang sama kepada kaum nabi tersebut. Dan kaum itu haruslah akur dengan perintah yang diberikan.

Imam Qatadah, seorang Mufassir dari golongan Tabi’in memberitahu:

1. Apabila seseorang berperjalanan menggunakan kapal laut, doa yang boleh dibaca adalah dari Surah Hud, ayat 41:

وَقَالَ ارْكَبُوا فِيهَا بِسْمِ اللَّهِ مَجْرَاهَا وَمُرْسَاهَا إِنَّ رَبِّي لَغَفُورٌ رَحِيمٌ (٤١)

“ Dan (ketika itu) berkatalah Nabi Nuh (kepada pengikut-pengikutnya yang beriman): "Naiklah kamu ke bahtera itu sambil berkata: ' Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya '. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

2. Manakala bagi perjalanan darat, doa daripada ayat Surah Zukhruf, ayat 13 & 14:

لِتَسْتَوُوا عَلَى ظُهُورِهِ ثُمَّ تَذْكُرُوا نِعْمَةَ رَبِّكُمْ إِذَا اسْتَوَيْتُمْ عَلَيْهِ وَتَقُولُوا سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ (١٣)وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ (١٤)

“ Supaya kamu duduk tetap di atasnya; kemudian kamu mengingati nikmat Tuhan kamu apabila kamu duduk tetap di atasnya, serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan:" Maha suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya -

"Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!"

3. Dan apabila sudah sampai/mendarat, doanya daripada Surah Al-Mukminun ayat 29:

وَقُلْ رَبِّ أَنْزِلْنِي مُنْزَلا مُبَارَكًا وَأَنْتَ خَيْرُ الْمُنْزِلِينَ (٢٩)

"Dan berdoalah dengan berkata: `Wahai Tuhanku, turunkanlah daku di tempat turun yang berkat, dan Engkau adalah sebaik-baik pemberi tempat ' "

Kembali kepada ayat 28 ini, perintah yang Allah turunkan supaya bersyukur itu adalah disebabkan oleh jaminan keselamatan yang diberikan Allah kepada Nabi Nuh dan pengikutnya daripada orang-orang yang zalim!

Persoalannya adalah, mengapa Allah tidak menyebut jaminan keselamatan itu, adalah daripada keselamatan daripada bencana banjir besar yang sungguh dahsyat itu, atau pun daripada perkara-perkara lain?

Sedangkan sudah amat pasti kaum Nabi Nuh yang zalim dan kufur kepada Allah itu akan musnah dalam azab yang diturunkan oleh Allah itu, dan sudah pasti tidak lagi dapat mengancam Nabi Nuh dan para pengikutnya yang soleh itu?

Jawapannya adalah kerana perkara yang terpenting bagi seseorang Mukmin itu di sisi Allah adalah aqidahnya, dan bukan nyawanya!

Maksud ayat tersebut bolehlah dikatakan seperti berikut:

Apalah gunanya, orang-orang yang beriman itu terselamat daripada bencana alam yang boleh meragut nyawa, jika mereka tidak terselamat daripada orang-orang yang zalim, yang akan sentiasa berusaha merosakkan aqidah mereka?

Lebih baik bagi orang Mukmin itu mati, daripada dia hidup dalam keadaan syirik atau rosak aqidahnya!

Mari kita lihat Surah Tahrim, ayat 11, yang mengisahkan tentang Asiah, isteri Firaun yang telah memohon agar diselamatkan aqidahnya oleh Allah SWT

وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلا لِلَّذِينَ آمَنُوا اِمْرَأَةَ فِرْعَوْنَ إِذْ قَالَتْ رَبِّ ابْنِ لِي عِنْدَكَ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ وَنَجِّنِي مِنْ فِرْعَوْنَ وَعَمَلِهِ وَنَجِّنِي مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ (١١)

“Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan kepada orang-orang mukmin iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: "Wahai Tuhanku! binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim"

Wallahu ’alam

To be continued...

Monday, May 28, 2007

Kuliah Tafsir Surah Al-Mu'minun 2

Oleh: Ustaz Kariman

Tempat: Darul Ta’lim, TTDI

Surah Al-Mukminun: 27


فَأَوْحَيْنَا إِلَيْهِ أَنِ اصْنَعِ الْفُلْكَ بِأَعْيُنِنَا وَوَحْيِنَا فَإِذَا جَاءَ أَمْرُنَا وَفَارَ التَّنُّورُ فَاسْلُكْ فِيهَا مِنْ كُلٍّ زَوْجَيْنِ اثْنَيْنِ وَأَهْلَكَ إِلا مَنْ سَبَقَ عَلَيْهِ الْقَوْلُ مِنْهُمْ وَلا تُخَاطِبْنِي فِي الَّذِينَ ظَلَمُوا إِنَّهُمْ مُغْرَقُونَ (٢٧)

Lalu Kami wahyukan kepadanya: "Buatlah bahtera Dengan pengawasan serta kawalan kami, dan Dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya); kemudian apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka, dan air memancut-mancut dari muka bumi (yang menandakan kedatangan taufan), maka masukkanlah ke Dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap jenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu (dan pengikut-pengikutmu) kecuali orang Yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya di antara mereka (disebabkan kekufurannya); dan janganlah Engkau merayu kepadaKu untuk menolong kaum Yang zalim itu, kerana Sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan Dengan taufan sehingga mati lemas.

Menurut Ibn Abbas r.a, bilangan orang-orang yang berada di atas bahtera itu sebanyak 80 orang sahaja.

Yang mana, 8 daripadanya adalah terdiri dari keluarga Nabi Nuh, termasuk baginda sendiri, isteri baginda, 3 orang putera, dan 3 orang puteri baginda. Bermakna hanya 72 orang sahaja pengikut Nabi Nuh yang betul-betul beriman kepada Allah dan terselamat daripada bencana Allah itu.

Manakala seorang lagi putera Nabi Nuh yang bernama Qan’an, telah pun tenggelam bersama-sama umat Nabi Nuh yang lain lantaran kufur kepada Allah SWT.

Peristiwa yang sungguh penting itu telah pun dirakamkan oleh Allah dalam Al-Quran, Surah Hud ayat 42:


وَهِيَ تَجْرِي بِهِمْ فِي مَوْجٍ كَالْجِبَالِ وَنَادَى نُوحٌ ابْنَهُ وَكَانَ فِي مَعْزِلٍ يَا بُنَيَّ ارْكَبْ مَعَنَا وَلا تَكُنْ مَعَ الْكَافِرِينَ (٤٢)

(Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: "Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir".

Dan seterusnya dalam ayat 45:


وَنَادَى نُوحٌ رَبَّهُ فَقَالَ رَبِّ إِنَّ ابْنِي مِنْ أَهْلِي وَإِنَّ وَعْدَكَ الْحَقُّ وَأَنْتَ أَحْكَمُ الْحَاكِمِينَ (٤٥)

“Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya Dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri, dan bahawa janjiMu itu adalah benar, dan Engkau adalah sebijak-bijak hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya".

Dan seterusnya dalam ayat 46:


قَالَ يَا نُوحُ إِنَّهُ لَيْسَ مِنْ أَهْلِكَ إِنَّهُ عَمَلٌ غَيْرُ صَالِحٍ فَلا تَسْأَلْنِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنِّي أَعِظُكَ أَنْ تَكُونَ مِنَ الْجَاهِلِينَ (٤٦)

“Allah berfirman: "Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); Sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil".

Perhatikan dalam rentetan ayat di atas, dan kita dapat perhatikan bagaimana Nabi Nuh yang juga merupakan seorang bapa, tidak dapat menahan dirinya daripada merasa sedih dengan nasib anaknya yang diazab oleh Allah, hingga baginda memohon agar Allah menyelamatkan anaknya itu.

Namun, ternyata azab Allah itu sesuatu yang sangat pasti, dan Allah yang Maha Agung telah menegur rasulNya itu dengan keras supaya tidak tergolong dari kalangan orang-orang yang jahil!

Dalam ayat ini, ada beberapa pengajaran yang boleh diambil:

1. Hubungan kekeluargaan yang sebenar adalah hubungan yang diikat oleh aqidah yang satu terhadap Allah SWT.

2. Perhatikan ayat 46 di atas, Allah telah menggunakan ayat إِنَّهُ عَمَلٌ غَيْرُ صَالِحٍ untuk menggambarkan kekufuran Qan’an, anak Nabi Nuh itu.

Pemilihan ayat itu yang bermaksud ‘Sesungguhnya dia adalah amalan yang tidak soleh’ adalah tidak lain untuk menggambarkan kasih sayang Allah yang tiada bandingannya.

Bagaimana?

Allah adalah Tuhan yang Maha Adil dan Dia hanya membenci amalan-amalan kufur hamba-hambaNya, dan bukannya kerana dirinya sendiri.

Allah tidak mengatakan ‘Sesungguhnya dia (Qan’an) adalah orang jahat’, sebaliknya menyebut tentang amalannya yang tidak soleh itu, sebagai punca dia diputuskan hubungan daripada Nabi Nuh dan orang Mu’min yang lain.

Dan itu jugalah yang sebenarnya perlu dilakukan oleh kita sebagai hamba Allah. Janganlah kita menilai seseorang berdasarkan hubungan darah, bangsa, warna kulit dan perkara-perkara luaran. Kerana Allah tidak pernah memandang itu semua, melainkan amalannya semata-mata...

3. Dalam penghujung ayat 46 di atas, Allah telah menegur keras perbuatan Nabi Nuh itu menggunakan perkataan الْجَاهِلِينَ.

Apa yang terkandung di sebalik ayat di atas adalah, Allah dengan tegas memberitahu bahawa adalah bodoh untuk menyayangi apa yang dibenci Allah dan begitu juga adalah sangat bodoh untuk membenci apa yang disayangi oleh Allah.

Nabi Nuh telah ditegur dengan keras kerana kasih sayang baginda menyebabkan baginda memohon keselamatan bagi anaknya yang kufur itu.

Bagaimana pula dengan kita?

Sudah berapa banyak kita melakukan perkara-perkara yang dimurkai Allah dan meninggalkan perkara yang disukai olehNya?

Dan sudah berapa kali pula kita termasuk dalam golongan orang-orang yang digelar sebagai bodoh oleh Allah, lantaran kelalaian dan kedegilan kita?!!

Semoga kita bersama-sama tergolong dalam golongan orang-orang yang sentiasa dirahmati oleh Allah SWT.
Wallahu 'alam

To be continue...

Saturday, April 21, 2007

Kuliah Tafsir 1

Oleh: Ustaz Kariman

Tempat: Darul Ta’lim, TTDI

Surah Al-Mukminun: Ayat 26 & 27

Ayat 26

قَالَ رَبِّ انْصُرْنِي بِمَا كَذَّبُونِ (٢٦)

“Nabi Nuh berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku tolonglah daku, kerana mereka mendustakan seruanku.”

Menurut Imam Fakhruddin Ar-Razi, doa Nabi Nuh itu boleh ditafsirkan kepada dua maksud yang berbeza:

  1. “Wahai Tuhanku, binasakanlah mereka dengan sebab mereka telah mendustakan aku.”

Nabi Nuh a.s telah memohon Allah menunaikan janjiNya kepadanya dengan membinasakan kaumnya yang telah melakukan banyak kerosakan di muka bumi ini.

Atau

  1. “Ya Allah, berilah perlindungan kepadaku sebagai pengganti kepada pendustaan yang mereka lakukan kepadaku.”

Yakni Nabi Nuh a.s. tidak berdoa supaya Allah membinasakan kaumnya, sebaliknya supaya Allah membantu baginda dalam menyampaikan risalahNya sebelum kaumnya menggagalkan usaha dakwahnya.

Menghuraikan dengan lebih lanjut, Ust Kariman menyatakan bahawa doa Nabi Nuh yang kedua itu adalah sangat selari dengan semua seruan Rasul-rasul yang lain.

Apa yang dimaksudkan dengan ‘berilah perlindungan kepadaku’ itu, bukanlah bermaksud Nabi Nuh memohon Allah menyelamatkan nyawanya daripada kezaliman kaumnya, kerana kematian bukanlah apa yang ditakutinya.

Tetapi, apa yang dikuatiri oleh baginda adalah kematiannya sebelum sempat baginda menyampaikan risalah Allah kepada kaumnya itu.

Sebagaimana para Rasul yang lain, Nabi Nuh menunjukkan bahawa baginda meletakkan risalah Allah lebih daripada segala-galanya di dunia ini, dan baginda amat berdukacita sekiranya baginda mati sebelum sempat melakukan amanah Allah kepadanya itu.

Dua tafsiran di atas juga bolehlah digunakan sebagai dalil bagi perkara berikut:

  1. Dalil bagi kita memohon supaya memusnahkan musuh-musuh Allah di muka bumi ini.
  2. Dalil bagi kita memohon bantuan Allah supaya dapat menjalankan tanggungjawab dakwah kita.

Ayat 27

فَأَوْحَيْنَا إِلَيْهِ أَنِ اصْنَعِ الْفُلْكَ بِأَعْيُنِنَا وَوَحْيِنَا فَإِذَا جَاءَ أَمْرُنَا وَفَارَ التَّنُّورُ فَاسْلُكْ فِيهَا مِنْ كُلٍّ زَوْجَيْنِ اثْنَيْنِ وَأَهْلَكَ إِلا مَنْ سَبَقَ عَلَيْهِ الْقَوْلُ مِنْهُمْ وَلا تُخَاطِبْنِي فِي الَّذِينَ ظَلَمُوا إِنَّهُمْ مُغْرَقُونَ (٢٧)

“Lalu Kami wahyukan kepadanya: "Buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya); kemudian apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka, dan air memancut-mancut dari muka bumi (yang menandakan kedatangan taufan), maka masukkanlah ke dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap jenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu (dan pengikut-pengikutmu) kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya di antara mereka (disebabkan kekufurannya); dan janganlah engkau merayu kepadaKu untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan dengan taufan sehingga mati lemas.”

Selepas itu, sehingga ke akhir kuliahnya, Ust Kariman menumpukan perhatian kepada perkataan pertama dalam ayat ini sahaja iaitu perkataanفَأَوْحَيْنَا s

yang bermaksud “Lalu Kami wahyukan kepada mereka”

فَأَوْحَيْنَا adalah berasal dari perkataan ‘wayhu’.

Wahyu dari segi bahasa bermaksud: isyarat yang sangat cepat, sehingga orang yang mendapatnya tidak mengetahui dari mana datangnya.

Dan wahyu juga adalah salah satu daripada 3 cara Allah berhubung dengan hamba-hambaNya.

Firman Allah SWT dalam Surah Asy-Syuraa, ayat 51:

وَمَا كَانَ لِبَشَرٍ أَنْ يُكَلِّمَهُ اللَّهُ إِلا وَحْيًا أَوْ مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ أَوْ يُرْسِلَ رَسُولا فَيُوحِيَ بِإِذْنِهِ مَا يَشَاءُ إِنَّهُ عَلِيٌّ حَكِيمٌ (٥١)

“Dan tidaklah layak bagi seseorang manusia Bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali Dengan jalan wahyu (dengan diberi ilham atau mimpi), atau dari sebalik dinding (dengan mendengar suara sahaja), atau Dengan mengutuskan utusan (malaikat) lalu utusan itu menyampaikan wahyu kepadanya Dengan izin Allah akan apa Yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah Maha tinggi keadaannya, lagi Maha Bijaksana”

Seperti yang diberitahu oleh Allah dalam ayat di atas,

3 cara itu adalah:

A) Wahyu (isyarat yang sangat cepat)

Dalam Al-Quran, Wahyu membawa banyak makna:

  1. Ilham

Dalam Surah Al-Qashash, ayat 7, Allah berfirman:

وَأَوْحَيْنَا إِلَى أُمِّ مُوسَى أَنْ أَرْضِعِيهِ فَإِذَا خِفْتِ عَلَيْهِ فَأَلْقِيهِ فِي الْيَمِّ وَلا تَخَافِي وَلا تَحْزَنِي إِنَّا رَادُّوهُ إِلَيْكِ وَجَاعِلُوهُ مِنَ الْمُرْسَلِينَ (٧)

“Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa:" Susukanlah dia; Dalam pada itu, jika Engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah Dia di Dalam peti dan) lepaskanlah Dia ke laut; dan janganlah Engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; Sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadaMu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul kami”

Ilham untuk menyelamatkan Nabi Musa itu timbul di dalam hati ibunya, datang daripada Allah SWT.

  1. Fitrah/ Naluri/ Sifat semulajadi

Dalam Surah An-Nahl, ayat 68, Allah berfirman:

وَأَوْحَى رَبُّكَ إِلَى النَّحْلِ أَنِ اتَّخِذِي مِنَ الْجِبَالِ بُيُوتًا وَمِنَ الشَّجَرِ وَمِمَّا يَعْرِشُونَ (٦٨)

“Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: "Hendaklah Engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia.”

Dalam ayat ini, Allah telah menetapkan Fitrah bagi lebah bahawa tempat tinggalnya haruslah terletak di tempat-tempat seperti yang disebutkan dalam ayat di atas. Sebab itulah tidak sekalipun kita akan melihat lebah membuat sarangnya di tempat yang selain daripada itu.

Sepertimana yang telah ditetapkan kepada manusia, Allah telah menetapkan fitrah kepada setiap makhluk ciptaanNya.

Sebagai contoh, Air.

Air ini fitrahnya akan mengalir dari tempat bertekanan tinggi kepada tempat bertekanan rendah. Sama sekali, air tidak akan melanggar fitrah yang telah ditetapkan kepadanya dengan mengalir dari tempat tekanan rendah kepada tempat tekanan tinggi.

Pendek kata, setiap makhluk yang berada di muka bumi ini, baik haiwan, tumbuhan atau apa sahaja, semuanya hidup dengan fitrah masing-masing yang telah ditetapkan ke atas mereka... kecuali Manusia!

Walaupun dengan kelebihan akal yang dikurniakan Allah kepada mereka, manusia adalah makhluk yang sering melanggar fitrah yang Allah tetapkan kepada mereka. Dan itulah sebabnya, dunia yang didiami manusia ini semakin lama semakin bergolak dan menuju kehancuran. Semuanya kerana perbuatan tangan-tangan mereka ini sendiri.

Oh, kembalilah kepada fitrahmu, wahai manusia! Kembalilah kepada Allah dan RasulNya!

  1. Isyarat (body language)

Dalam Surah Maryam, ayat 11, Allah berfirman:

فَخَرَجَ عَلَى قَوْمِهِ مِنَ الْمِحْرَابِ فَأَوْحَى إِلَيْهِمْ أَنْ سَبِّحُوا بُكْرَةً وَعَشِيًّا (١١)

“Maka Dia pun keluar mendapatkan kaumnya dari Mihrab (tempat sembahyangnya), lalu ia memberi isyarat kepada mereka: "Hendaklah kamu bertasbih (mengerjakan Ibadat kepada Allah) pagi dan petang.”

Ayat ini mengisahkan Nabi Zakaria a.s. yang baru sahaja mendapat khabar gembira daripada Allah SWT bahawa baginda akan dikurniakan seorang anak lelaki yang juga akan menjadi seorang Rasul kepada kaumnya (Nabi Yahya).

Lalu baginda keluar dari mihrabnya untuk berjumpa dengan kaumnya, dan ketika itu baginda memberikan isyarat kepada kaumnya itu supaya beribadah kepada Allah.

Bagaimana bentuk isyarat itu, tidaklah diketahui, tetapi apa yang pasti maksudnya sampai kepada kaumnya seperti yang diceritakan dalam ayat di atas.

  1. Bisikan

Dalam Surah Al-An’am, ayat 112, Allah berfirman:

وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الإنْسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ (١١٢)

“Dan Demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya Yang lain kata-kata dusta Yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. oleh itu, biarkanlah mereka dan apa Yang mereka ada-adakan (dari perbuatan Yang kufur dan dusta) itu.”

Di dalam ayat ini, Allah menggunakan perkataan يُوحِيuntuk menggambarkan bisikan syaitan yang penuh tipu daya.


5. Apa yang disampaikan oleh Allah kepada para Malaikat untuk disampaikan kepada Nabi

Dalam Surah Al-Anfal, ayat 12, Allah berfirman:

إِذْ يُوحِي رَبُّكَ إِلَى الْمَلائِكَةِ أَنِّي مَعَكُمْ فَثَبِّتُوا الَّذِينَ آمَنُوا سَأُلْقِي فِي قُلُوبِ الَّذِينَ كَفَرُوا الرُّعْبَ فَاضْرِبُوا فَوْقَ الأعْنَاقِ وَاضْرِبُوا مِنْهُمْ كُلَّ بَنَانٍ (١٢)

“(ingatlah) ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku menyertai kamu (memberi pertolongan), maka Tetapkanlah (hati) orang-orang Yang beriman. Aku akan mengisi hati orang-orang Yang kafir Dengan perasaan gerun; oleh itu, pancunglah leher mereka (musuh) dan potonglah tiap-tiap anggota mereka.”

Maksud wahyu yang terakhir ini adalah maksud yang kita semua telah sedia mengetahuinya.

Sebagaimana yang dimaksudkan dalam ayat ini, Allah telah menyampaikan wahyu kepada Rasulullah melalui Malaikat

B) Dari sebalik Hijab

Melalui cara ini, Allah berhubung dengan hambaNya tanpa perantaraan sesiapa, tetapi melalui sebalik hijab.

Contoh yang paling jelas adalah semasa Nabi melakukan Mi’raj untuk menemui Allah di Sidratul Muntaha. Allah telah menyampaikan perintah Solat kepada Nabi melalui cara ini, dari sebalik hijab.

Contoh yang lain adalah pada kejadian Allah bercakap dengan Nabi Musa di Bukit Tursina.

Perlulah diingat bahawa Allah bukanlah ‘bercakap’ dengan rasul-rasulNya itu, sebaliknya mempunyai caraNya yang sangat mulia yang tersendiri.

Dan untuk lebih memahami apa yang dikatakan dengan ‘di sebalik hijab’ itu, lebih mudah untuk mengetahui bahawa Allah berada di dalam ‘dimensi’ yang berlainan daripada semua hamba-hambaNya, dan dimensi itulah yang membentuk hijab tersebut.

C) Pengutusan Malaikat kepada Rasul-rasulNya

Melalui cara ini, Allah mengutuskan Jibril untuk menyampaikan sebarang kehendakNya kepada Rasul-rasulNya di dunia ini.

Menurut sebuah Hadis Sahih yang diriwayatkan oleh Imam Tabrani, Rasulullah memberitahu bahawa apabila Allah berkehendakkan untuk menurunkan sesuatu ayat Al-Quran melalui penurunan wahyu, seluruh lapisan langit akan bergoncang dengan sangat kuat kerana takutkan Allah. Apabila semua penghuni langit mendengar dan merasakan gegaran yang sangat kuat itu, mereka semua jatuh pengsan dan jatuh tersungkur dalam keadaan bersujud.

Malaikat yang mula-mula bangun dari pengsannya adalah Jibril lalu Allah menyampaikan wahyu itu kepadanya. Kemudian Jibril turun melalui malaikat-malaikat yang lain dan setiap kali itu, mereka yang masih lagi dalam ketakutan itu akan bertanya, ‘Wahai Jibril, apakah yang dikatakan oleh Tuhan kita?’

Kata Jibril, “Apa yang diperkatakan oleh Tuhan kita adalah kebenaran, dan sesungguhnya Allah itu Maha Tinggi dan Maha Besar.” Lalu semua malaikat itu akan mengulangi kata-kata Jibril itu dengan beramai-ramai, “Perkataan Tuhan kita adalah kebenaran. Sesungguhnya Allah itu Maha Tinggi dan Maha Besar...!”

Kejadian seperti yang diceritakan dalam hadis itu, akan berlaku setiap kali Allah menyampaikan wahyu melalui Jibril kepada baginda. Kerana takutkan Allah, langit akan bergoncang dan para malaikat akan jatuh pengsan dengan setiap penurunan ayat-ayat Allah itu, menunjukkan betapa mulianya kedudukan Al-Quran di sisi Allah!

Namun, bagaimana pula dengan sikap manusia apabila berhadapan dengan ayat-ayat Allah? Mereka mendustakannya, dan meremeh-remehkan isi kandungannya, di kala seluruh penghuni langit jatuh pengsan akibat ketakutan dengan setiap apa yang disampaikan oleh Allah melalui lidah RasulNya itu...!

Semoga kita tergolong dalam golongan orang-orang yang takutkan Allah dan sentiasa mencari keredhaanNya...