Showing posts with label Kuliah Asmaul Husna. Show all posts
Showing posts with label Kuliah Asmaul Husna. Show all posts

Sunday, April 29, 2007

Al-'Aziz (الْعَزِيز)

Nama Al-‘Aziz adalah nama ke-8 daripada nama Allah yang 99, atau yang ke-9 jika termasuk nama Allah.

Di dalam Al-Quran, nama Al-‘Aziz ini diulangi sebanyak 99 kali... iaitu sama bilangannya dengan Asmaul Husna...

Pengertian Al-‘Aziz:

Selama ini, kita memahami Al-‘Aziz sebagai Yang Maha Perkasa. Tetapi hakikatnya, Al-‘Aziz itu sebenarnya mempunyai beberapa makna lain yang lebih mendalam.

Al-‘Aziz berasal dari perkataan ‘Azaza

عَزَزَ-عَزَّ

(Allah satu-satunya, tiada dua)عَزَّ-يَعِزُّ1)

Dalam Surah Asy-Syuraa, ayat 11, Allah telah berfirman:

فَاطِرُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ جَعَلَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَمِنَ الأنْعَامِ أَزْوَاجًا يَذْرَؤُكُمْ فِيهِ لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ (١١)

“Dialah Yang menciptakan langit dan bumi; ia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri, dan menjadikan dari jenis binatang-binatang ternak pasangan-pasangan (bagi bintang-binatang itu); Dengan jalan yang demikian dikembangkanNya (zuriat keturunan) kamu semua. tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya) dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.”

Perhatikan petikan ini:

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Yang membawa maksud:

“Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya) dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.”

Apa yang ditekankan di dalam ayat ini, Allah adalah satu-satunya Tuhan di dunia ini, dan tiada suatu apa pun yang menyerupainya.

Atau dalam perkataan Ust Kariman, Tiada sesuatu apa pun di dunia ini, yang menyerupai dengan sesuatu yang menyerupai Allah!

.......!

Allah Yang Maha Esa, dengan sifat ‘Aziz yang dimilikiNya, tidak ada sebarang perbandingan yang boleh dibuat terus kepadaNya, mahupun kepada apa-apa sahaja yang boleh difikirkan untuk dibandingkan denganNya.

Allah memiliki dunia ini serta seluruh isinya, dan sangat diperlukan oleh semua makhlukNya. Dengan itu Allah adalah Al-‘Aziz.

Allah menjadi tumpuan semua makhlukNya, sama ada tanpa mereka sedari atau tidak. Dengan itu Allah adalah Al-‘Aziz.

Allah tidak memerlukan sesiapa pun, sebaliknya merekalah yang memerlukanNya. Dengan itu Allah adalah Al-‘Aziz!

Baiklah. Untuk lebih memahami nama Allah ini, marilah kita perhatikan kisah Nabi Allah Yusuf a.s.

Kerana di dalam Al-Quranul Karim, Allah telah menggelarkan Nabi Yusuf dengan gelaran Al-‘Aziz.

Dalam Surah Yusuf, ayat 78 dan 88, Nabi Yusuf telah dipanggil dengan panggilan يَا أَيُّهَا الْعَزِيزُ yang bermaksud “Wahai Al-‘Aziz!”

Mengapa Nabi Yusuf dipanggil dengan panggilan itu?

Sebabnya adalah, pada masa itu Nabi Yusuf merupakan seorang penguasa Mesir yang sangat berkuasa. Dengan kelebihan ta’wil mimpi yang diberikan oleh Allah kepadanya, Nabi Yusuf telah mengetahui bahawa bumi Mesir akan dilanda kemarau yang sangat dahsyat dan berpanjangan. Justeru, baginda telah bersiap sedia mengumpulkan segala bahan makanan dan keperluan yang akan diperlukan oleh seluruh rakyat Mesir ketika itu. Boleh dikatakan, seluruh rakyat Mesir ketika itu, memerlukan Nabi Yusuf untuk mengelakkan daripada kebuluran.

Dan oleh sebab pada masa itu, baginda mempunyai sesuatu yang tidak ada pada orang lain, dan tambahan pula sangat diperlukan oleh semua rakyatnya,maka baginda digelar Al-‘Aziz!

Perumpamaan lain yang diberikan untuk lebih memahami nama Allah ini adalah seperti berikut:

Andaikan seorang bernama A telah berjaya mencipta suatu produk yang sangat diperlukan oleh seluruh manusia di dunia ini, yang tanpa produk itu, manusia akan mengalami kesusahan atau lebih teruk lagi mati. Kemudian, tidak cukup dengan itu, produk yang dihasilkan itu pula tidak boleh di ‘cetak rompak’ oleh orang lain, menyebabkan semua orang bergantung kepadanya untuk keperluan mereka itu.

Maka, pada masa itu, A aan menjadi orang yang paling berkuasa dan berpengaruh di dunia ini, dan dia layak digelar Al-‘Aziz.

Allah, dengan nama yang sungguh mulia itu, adalah Tuhan yang seluruh makhluk di dunia ini tertumpu kepadaNya, bergantung harap kepadaNya, dan tidak akan boleh hidup tanpa izin dariNya.

Sesungguhnya kita hidup di dunia ini, kerana Allah berkehendakkan begitu.

Allah tidak sedikitpun memerlukan kita, mahupun makhluk-makhlukNya yang lain.

Sebaliknya kitalah yang memerlukan Allah, yang dengan segala kesempurnaan sifatNya telah membenarkan kita menghirup udara milikNya, rezeki kurniaanNya dalam dunia ciptaanNya ini.

Dan oleh kerana itu, Allah adalah Al-‘Aziz!!!

(Mengalahkan)عَزَّ-يَعُزُّ2)

Allah dengan sifat Al-‘Aziz, akan mengalahkan musuh-musuhNya secara total.

Secara total bermaksud, Allah akan memberikan peluang kepada mereka terlebih dahulu sebelum bertindak menewaskan mereka.

Dengan ini, ia akan memberikan kesan yang mendalam kepada mereka, dan orang-orang yang ingin mengambil pengajaran daripadanya.

Contoh paling nyata adalah musuh Allah, Abu Jahal.

Di bawah pengaruhnya, umat Islam di Mekah pada masa itu ditindas dan disiksa dengan dengan sangat teruk oleh Musyrikin Mekah.

Kejahatannya telah membuatkan Allah menurunkan amaran seperti yang ayat di bawah.

Allah berfirman di dalam Surah Al-‘Alaq, ayat 15-19.

كَلا لَئِنْ لَمْ يَنْتَهِ لَنَسْفَعًا بِالنَّاصِيَةِ (١٥)نَاصِيَةٍ كَاذِبَةٍ خَاطِئَةٍ (١٦)فَلْيَدْعُ نَادِيَهُ (١٧)سَنَدْعُ الزَّبَانِيَةَ (١٨)كَلا لا تُطِعْهُ وَاسْجُدْ وَاقْتَرِبْ (١٩)

15. Jangan sekali-kali berlaku derhaka! Demi Sesungguhnya jika ia tidak berhenti (dari perbuatannya Yang buruk itu), nescaya Kami akan menyentap ubun-ubunnya (dan menyeretnya ke Dalam neraka), -

16. Ubun-ubun (orang) Yang berdusta, Yang bersalah.

17. Kemudian biarlah ia memanggil kumpulannya (untuk menyelamatkannya),

18. Kami pula akan memanggil malaikat Zabaniyah (untuk menyeksanya)!

19. Ingatlah! janganlah Engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendaknya, dan (sebaliknya) sujudlah dan dampingkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal soleh)!

Kenyataannya, pada masa itu, walaupun selepas turunnya ayat berisi amaran keras itu, Allah masih membiarkan Abu Jahal dengan kejahatannya...

Sehinggalah tiba Perang Badar yang berlaku beberapa tahun selepas itu, barulah amaran Allah itu menjadi nyata.

Abu Jahal telah dibunuh, kepalanya dipenggal, dan ditarik pada ubun-ubunnya dan dibawa kepada Rasulullah SAW oleh Ibn Mas’ud.

Allah telah memberikan peluang kepada musuh-musuhNya terlebih dahulu, sebelum menunggu masa yang sesuai untuk mengalahkan mereka, secara total!

Contoh lain adalah pada kisah Nabi Ibrahim a.s dan Namrud.

Namrud, dengan segala keangkuhannya telah membina api yang sangat marak dan mencampakkan kekasih Allah itu ke dalamnya, penuh keyakinan bahawa dia akan dapat menghapuskan Nabi Ibrahim.

Namun, Allah tidak membenarkan perancangannya itu berjaya, dan pada saat akhir, telah menyelamatkan Nabi Ibrahim, seperti yang telah dirakamkan dalam Surah Al-Anbiya’ ini:

قُلْنَا يَا نَارُ كُونِي بَرْدًا وَسَلامًا عَلَى إِبْرَاهِيمَ (٦٩)وَأَرَادُوا بِهِ كَيْدًا فَجَعَلْنَاهُمُ الأخْسَرِينَ (٧٠)

69. Kami berfirman: "Hai api, Jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim! ".

70. Dan mereka (dengan perbuatan membakarnya itu) hendak melakukan angkara Yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang Yang amat rugi, (kalah Dengan hinanya).

Allah dengan sifat ‘Aziz yang dimilikinya, telah mengalahkan musuh-musuhNya secara total...!

(Menguatkan)عَزَّ-يَعَزُّ3)

Allah Al-‘Aziz juga merupakan Tuhan yang menguatkan hamba-hamba yang meminta kepadaNya.

Dalam Surah Al-Faathir, ayat 10, Allah telah berfirman:

مَنْ كَانَ يُرِيدُ الْعِزَّةَ فَلِلَّهِ الْعِزَّةُ جَمِيعًا إِلَيْهِ يَصْعَدُ الْكَلِمُ الطَّيِّبُ وَالْعَمَلُ الصَّالِحُ يَرْفَعُهُ وَالَّذِينَ يَمْكُرُونَ السَّيِّئَاتِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَكْرُ أُولَئِكَ هُوَ يَبُورُ (١٠)

“Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. kepada Allah lah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan), dan amal yang soleh pula di angkatnya naik (sebagai amal yang makbul - yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya). dan sebaliknya: orang-orang Yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa Yang berat; dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan) akan rosak binasa.”

Jika kita inginkan الْعِزَّةَ (kemuliaan), mintalah kepada Allah, kerana الْعِزَّةَ itu milik Allah, dan Allah akan memberikannya kepada orang yang beriman dan beramal soleh.

Malah di dalam ayat ini, Allah menyebut bahawa orang-orang yang mendapat kemuliaan itu adalah orang-orang yang memperbanyakkan:

  1. الْكَلِمُ الطَّيِّبُ (Kalimah Tayyibah – yakni LaaIlaha illaAllah) yang akan naik sendiri kepada Allah, dan
  2. وَالْعَمَلُ الصَّالِحُ (Amalan-amalan Soleh) yang akan diangkat oleh Allah.

Selain itu, perbanyakkanlah bacaan Al-Quran kerana pada Al-Quran itu, hikmah yang boleh menguatkan dan melembutkan hati manusia.

Sebab itulah Allah mengatakan Al-Quran ini diturunkan oleh Allah yang bersifat Al-‘Aziz, dan Ar-Rahim

Firman Allah dalam surah Yaasin, ayat 5:

تَنْزِيلَ الْعَزِيزِ الرَّحِيمِ (٥)

“ Al-Quran itu, diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani”

Wallahu a’lam

Kuliah Asmaul Husna

Kuliah Asmaul Husna


Ustaz Kariman

Darul Ta’lim


Muqaddimah


Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:


“Allah memiliki 99 nama, 100 kurang 1. Maka barangsiapa yang berakhlak dengannya, nescaya dia akan masuk syurga.”

Allah Yang Maha Agung bukan sahaja menyuruh hamba-hambaNya berakhlak dengan nama-namaNya, tetapi juga menyuruh kita berdoa dengan berwasilahkan nama-namaNya yang mulia itu.

Asmaul Husna Allah terdiri daripada nama-nama yang sangat mulia dan tiada nama yang mampu menandinginya dari segi keindahan mahupun pengertiannya yang sangat mendalam.

Malah Rasulullah telah memberitahu bahawa, jika bukan Allah sendiri yang memberitahu kepada hamba-hambaNya tentang Nama-namaNya itu, nescaya tiada siapa pun yang dapat memberikan nama-nama kepada Allah, sekalipun satu nama!


Dalam hal ini, ada sesuatu yang menarik yang ingin saya kongsi bersama.

Menurut ustaz, nama-nama Asmaul Husna ini, sebagai contoh, Al-‘Aziz, jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, pengertiannya adalah... Al-‘Aziz juga.

Dan apabila diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, maknanya adalah... Al-‘Aziz juga!

Begitu juga apabila diterjemahkan ke dalam bahasa Urdu, atau bahasa Perancis, ataupun bahasa Jawa sekalipun.

Al-‘Aziz... akan tetap bermakna... Al-‘Aziz!

Sebabnya... adalah:

1. Perkataan Al-‘Aziz adalah perkataan bahasa Arab, yakni bahasa yang Allah SWT telah pilih sebagai bahasa Al-Quranul Karim, dan juga sebagai bahasa Syurga. Bahasa Arab merupakan bahasa yang paling lengkap dan sempurna di muka bumi ini, yang mana, hanya bahasa ini sahaja yang mampu menyampaikan dan menampung apa yang ingin Allah maksudkan di dalam Al-Quran dan disampaikan kepada hamba-hambaNya. Dan oleh kerana tiada bahasa lain di dunia ini yang mampu menandingi the ‘depth and intensity’ of bahasa Arab ini, terjemahan Al-‘Aziz yang paling tepat, tetap jugalah... Al-‘Aziz...

2. Sebab yang kedua adalah kerana ilmu manusia yang sangat lemah jika dibandingkan dengan ilmu Allah. Kita sama sekali tidak akan dapat mengetahui secara total sejauh mana ‘Aziz nya Allah, dan juga nama-nama Allah yang lain. Sebagai contoh, kita mungkin menterjemahkan nama Ar-Rahman sebagai Yang Maha Pemurah, tetapi kita sama sekali tidak akan dapat mengetahui betapa pemurahnya Allah. Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang mengetahui betapa agung ZatNya, dan tidaklah kita, hamba-hambaNya yang lemah ini mengetahui melainkan hanya sedikit sahaja.

Wallahu a‘lam...